Apa motivasi kita untuk terus menulis secara percuma di blog

Soalan Jiwa Rasa kepada saya. Ini soalan berbau falsafah. Soalan yang mungkin terbit dari bacaan bahan terjemahan Seni Menulis Blog. Jawapannya ada disenggolkan di dalam entri mengenai Cluetrain. ..dan Kaya dalam Islam. Mungkin jawapannya perlu dilanjutkan di dalam entri ini.

Di zaman kegemilangan Islam memberi suluhan pelbagai ilmu hingga menjadi rujukan para sarjana Barat itu apakah perkara dominan yang menyerlah?

Tentu saja bukan kehebatan material, artifak seperti bangunan, istana hebat dan kekayaan sesebuah dinasti maharaja. Kehebatan begitu paling tidak hanya tercatat sebagai suatu rekod Wonders of the World atau rekod dunia Guinness. Tidak mustahil itu juga yang cuba dicapai oleh PROWARIS dengan acara Sembang dan Kopi Merdeka nanti. Gelembong yang mengelembong, isinya kosong laksana kata Shakespeare, a tale told by an idiot, full of sound and fury, signifying nothing Macbeth(Act V, Scene V).

Teknologi internet yang memungkinkan blog ditulis, dicapai oleh sesiapa itu sebenarnya satu putaran ke belakang, balik ke zaman di mana tiada sempadan, tiada autoriti politik maupun geografis untuk mengatakan itu dan ini tidak boleh. Ilmuan dari Eropah akan mencari kitab kitab tulisan ilmuan Arab dan sebaliknya juga berlaku bila idea idea dari Rome dan Greek diangkut masuk ke dalam orbit ilmu ilmu Islam. Mana mana tulisan yang berisi ilmu terus kekal menjadi rujukan sementara mana mana tulisan yang berstatus hampeh tidak kekal. Maknanya, tulisan yang bermutu diangkat sebagai elemen yang memperkayakan pengalaman dan kehidupan manusia. Ia memberi nilai-tambahan kepada tamaddun. Segala tulisan saudara Jiwa Rasa itu adalah satu bahan yang menambah nilai kepada ilmu (dunia Melayu). Shakespeare atau Rumi tidak menjadi kaya raya sebagai jutawan kerana karya mereka. Mereka memperkayakan tamaddun. Mereka mengaplikasikan sunnah Rasulullah bahwa yang memberi lebih baik dari yang hanya menerima.

Sekian lama kita membesar di dalam ekonomi pasaran kapitalisme maka apa yang ada di dalam kerangka fikir kita ialah apabila kita melakukan sesuatu usaha itu maka terfikir pula kita apakah ganjaran materialnya? Kerangka fikir pasaran terbuka kapitalis ini lalu ingin kita aplikasikan ke dalam dunia internet yang lahir bukan dari dinamika pasaran terbuka. Internet lahir dari mind set yang ganjil, anih lagi anarkis. Anarkis tidak pula merujuk kepada unsur negatif. Cuba lihat apa anjuran Peter Kropotkin (Bapa Komunisme Anarkis).

Dalam kerangka fikrah Islam kita boleh memberikan sesuatu kepada yang memerlukan tanpa meletakkan harga mengikut hukum pasaran. Jika kita kaya (dalam ertikata luas) tidak mustahil kita memberikan sesuatu pada harga yang nominal. Negara Islam sewajarnya memberi pendidikan secara percuma kepada rakyatnya dan tidak terikut ikut dengan gelagat ekonomi-politik kapitalisme.

Saya berpendapat soalan saudara Jiwa Rasa boleh membuka satu forum mengenai ekonomi Islam yang malangya tidak termampu untuk saya bahaskan kerana saya bukan ahli bidang tersebut. Apa yang dapat saya lakukan di ruang yang terbatas ini ialah membuka ruang seluas mungkin untuk meninjau pelbagai fikrah di luar batas budaya ekonomi yang berleluasa ketika ini.

Ruang internet ini menjadi realiti kerana usaha pihak yang berfikrah di luar budaya ekonomi pasaran. Sila perhatikan susur galur bermulanya internet. Inilah golongan manusia yang percaya kepada budaya Gift Economy. Usaha para kapitalis untuk mengeksploit ruang internet berakhir dengan fenomena Dot Com Bubble. Begitu juga halnya nanti dengan mereka yang ketinggalan keretapi Cluetrain di Malaysia. Golongan pandir politik Malaysia akan terus mengeluarkan pelbagai pendapat berdasar paradigma lama mereka sedang rakyat yang celik IT membaca dengan penilaian yang bijak.

Berdasarkan faktor faktor tadi saya kira apa yang kita tulis di dalam intenet, khususnya blog (mungkin akan berubah bentuk nanti) tidak boleh dikira sebagai percuma. Ada nilainya tersendiri diluar budaya ekonomi pasaran. Idea idea besar yang datang kepada kita, pelbagai kitab para ulama, cendekiawan zaman dahulu mekar dan berselerak ke seluruh dunia sebelum wujudnya syarikat penerbitan, percetakan dan gedung gedung buku yang meletakkan harga untuk setiap naskhah jualannya. Siapakha yang memberi atau meletakkan nilai kepada usaha mereka?

7 thoughts on “Apa motivasi kita untuk terus menulis secara percuma di blog

  1. saya sentiasa fikir anarkis tidak selalunya salah..

    terima kasih untuk maklumat itu..

    dan saya sangat bersetuju bab pendidikan percuma itu, hizb tahrir ada artikel mengenainya, mengenai keperluan mengutamakan pendidikan terhadap bangsa dalam pembinaan tamadun walau apa cara sekalipun..bukan menggunakannya untuk bisnes sesetengah pihak berkepentingan..

  2. akan lahir satu ikon baru, hasil dari lambakan blog-blog ini. Ikon itu tidak lain dan tidak bukan pastinya pencerahan budaya bangsa. Memang bermulanya dengan tempang,tiada sejarah bermula dengan sempurna. Bagus karangan anda.

  3. Hari ini saya ke pejabat PTS, baru dapat baca blog tuan!

    Puan, saya sudah lama geram dengan servis cakap tak serupa bikin. Iklan kokok berderai derai, pelanggan baru diberi bermacam macam insentif, pelanggan lama dibiarkan!

  4. Bukan kuantiti, tetapi kualiti: kita perlukan pendidikan yang bermutu, yang menjurus kepada penghasilan insan yang lengkap dengan otak yang bisa menilai apa yang baik dan apa yang buruk, dan sanggup menyatakan kebenaran walaupun masyarakat hidup dalam suatu pembohongan.

    Pendidikan sudah menjadi suatu barang dagangan sekarang di mana orang yang betapa haprakpun ilmunya asalkan dompet berisi, bisa pergi kolej dan lulus dengan sekeping sijil.
    Pensyarah ditekan untuk meluluskan orang-orang ini kerana pelajar itu pelanggan.

    Anda lihat melambak-lambak “A” yang orang muda masa kini peroleh, tetapi mudah saja dikalahkan dengan soalan yang asasi. Mereka menjawab: Peperiksaan itu cuma satu mainan -it is just a game. Sedih.

  5. dear elrastom,

    yang pentingnya adalah ketiga-dimensi pemikiran sangat diperlukan di sini untuk menghasilkan karya yang kualitas. justeru penulisan percuma di blog lebih berkualitas dari apa yang dibayar yang berkemungkinan terdapat motif2 politik di situ.

    contoh akhbar mainstream.

    Pak el Hakim,

    Mainstream itu seperti sungai sungai di Malaysia. Lho, ikan pun bisa kojol!

  6. Tulisan dalam Universiti Terbuka PTS saya adalah demi memandaikan bangsa.

    Puan SifuPTS,

    Saya akui, Unika PTS sudah semakin berjaya mewujudkan niche tersendiri dan sudah membentuk satu komuniti yang meyakinkan perkembangan seni penulisan di tahun tahun mendatang. Ini satu contoh motivasi menulis secara percuma (wakaf) yang membenihkan amal ma’ruf di sekitar alam kepengarangan Melayu (di dalam ertikata luas)/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s