Politik Awalan: Pilihanraya dan membeli belah

Seorang menteri menjerit, Kita negara demokrasi, setiap 5 tahun kita adakan pilihanraya! Memang benar katanya. Termaktub di dalam Perlembagaan. Imbuhan ter yang bukan dilakukan secara tidak sengaja. Memang disengajakan setelah berpakat. Sementara kata asal maktub pula adalah pakatan kita untuk meminjam bahasa Arab maktub, masdar mimi yakni nama terbitan berkepala mim yang ditambah kepada kata asal kataba. Ini rahsia belajar bahasa Arab untuk orang biasa biasa seperti saya.

Kita akan bercakap mengenai politik selepas saya memberi satu petua mudah belajar bahasa Arab. Dengan meletakkan mim pada beberapa kata kerja, bahasa Arab mewujudkan konsep atau makna baru. Ini yang banyak masuk ke dalam Bahasa Melayu. Contoh: mesjid (sajada), madrasah (darasa), mafhum (fahm), majlis (jalasa). Lain lain contoh ialah: muallaf, mualif, mukallaf, maslahat, makrifat dan sebagainya. Mekanisme tajwid bahasa Arab ini sangatlah penting sebagai pendedahan awalan jika kita mau membaca kitab kitab tulisan ulama Melayu, yakni kitab kitab lama. Malangnya kitab kitab yang ditulis ulama zaman moden inipun masih mengandaikan orang Melayu tahu selok belok mekanisme tata bahasa Arab.

Contohnya sebuah buku belajar tajwid karangan Ustaz Mahmud al Hafiz, ustaz dari kampong saya. Dalam menerangkan hukum hukum tajwid yang berkaitan nun mati, nun sakinah dan sebagainya, beliau mengandaikan pembaca sudah tahu soal mekanisme bahasa Arab. Disebutnya istilah istilah hardcore tatabahasa Arab seperti Kaana dan saudara saudaranya. Istilah ini agak susah untuk orang biasa biasa seperti saya dan ia melencong tumpuan untuk mencari apa bendanya Kaana dan saudara saudaranya? Ada baiknya buku itu menyelitkan nota kaki untuk menerangkan istilah itu. Kerana itulah agaknya kenapa para ustaz sering mengingatkan kita supaya berguru bila membaca kitab kitab lama. Saranan berguru itu memang saya setuju, dan saya juga lebih suka jika buku buku seperti itu dipermudahkan. Maksudnya pendekatan mengarang itu diubah dengan mengambil kira kemampuan orang biasa biasa.

Sekarang kita kembali kepada pokok atau tajuk entri ini. Apa kaitan pilihanraya dengan membeli belah? Biasanya kita akan berusaha mendapatkan maklumat mengenai sesuatu barangan yang ingin kita beli itu. Setelah puas kita mencari brosur, membaca reviu dan bertanya rakan rakan maka akhirnya kita bulatkan hati membeli. Dalam pilihanraya, komoditi atau barangannya ialah calon atau parti yang bakal dipilih. Di dalam sesebuah demokrasi yang sihat, info untuk setiap calon yang bertanding itu dipermudahkan capaiannya kepada pengundi. Kesepakatan istilah demokrasi hari ini menjadi isu hangat. Apa itu demokrasi? Cukupkah setakat ada pilihanraya?

Dari mana datangnya info itu jika tidak daripada media massa. Maka sesebuah negara yang sihat demokrasinya akan memudahkan, membuka ruang yang luas untuk setiap calon dikenali rakyat dengan mewujudkan suasana media massa yang terbuka. Setelah 50 tahun merdeka, ruang kebebasan ini masih dipertikai orang. Maknanya ruang untuk benar benar kenal sebelum mengundi itu masih kabur. Akhirnya apa yang berlaku, yang dipilih itu rupa rupanya hampeh! Yang diharap memimpin itu gagal!

Ruang mengkritik dan dikritik seperti yang tedapat di dalam blog ini tidak wujud. Jika apa yang saya tulis ini tidak benar, nah, silakan mengkritik. Hujah lawan hujah. Itulah demokrasi – dan inilah intipati daripada buku The World Is Flat.

Padang permainan yang sudah diratakan oleh perkembangan teknologi ICT semakin hari semakin meluas kesannya. Resistance is futile. Tiada guna melawan arus yang mengglobal ini. Padahnya ialah ia mendedahkan kelemahan kita sendiri. Menafikan apa yang telah dilihat seantero dunia itu amat mengaibkan. Islam menganjurkan kita berdoa dan berusaha mendapatkan kesudahan yang baik dalam hidup –husnul khotimah. Masih belum terlambat.

3 thoughts on “Politik Awalan: Pilihanraya dan membeli belah

  1. Tuanku Rastom,

    Demokrasi linguistik adalah fasa pertama pembangunan tamadun. Itulah sebabnya (barangkali, sebab hanya Allah yang tahu mengapa) kitab-kitab Allah diturunkan dalam bahasa-bahasa ibunda tiap-tiap nabi yang menerima kitab itu.

    Hanya Quran diturunkan dalam bahasa Arab (barangkali) sebab Nabi Muhammad SAW itu bahasa ibundanya bahasa Arab.

    Demikianlah, sebagai orang Arab, Nabi Muhammad mengajar orang-orang Arab lain, menggunakan bahasa Arab. (Justeru wajib hukumnya bagi guru-guru Melayu mengajar budak-budak Melayu sains dan matematik menggunakan Bahasa Melayu).

    Kepada bangsa-bangsa bukan Arab yang sudah masuk Islam, Nabi Muhammad menghantar guru-guru yang tahu bahasa-bahasa mereka, bagi mengajarkan Islam kepada mereka menggunakan bahasa mereka sendiri. (Justeru wajib bagi pendakwah belajar bahasa-bahasa kaum sasaran dan mengajarkan Islam dalam bahasa-bahasa kaum itu.)

    Jadi kita perlu mengiktiraf bahawa ada fiqh linguistik dalam syariah. Fiqh inilah yang tidak dilaksanakan di Andalusia, makanya, selepas 800 tahun orang Arab menjajah wilayah itu, Islam gagal disematkan ke dalam sanubari orang-orang Sepanyol, malah akhirnya penjajah Arab itu berjaya mereka sembelih, sampai tidak tinggal lagi walaupun 1 orang keturunan mereka di tanah jajahan itu.

    Kristianiti kekal di Andalusia kerana bahasa Sepanyol kekal menjadi penyimpan ajaran-ajaran Katholik. Bahasa Sepanyol tidak dijadikan bahasa Islam oleh penjajah Arab. Kitab-kitab Islam tidak diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol. Ulama-ulama Islam tidak belajar bahasa Sepanyol, dan tidak menulis dalam bahasa Sepanyol.

    Penjajah Arab di Andalusia memaksa orang Sepanyol belajar bahasa Arab kalau mahu belajar Islam (seperti sebagaimana Ibnu Rushd terpaksa belajar membaca tulisan dan bahasa Arab).

    Ibnu Rushd menulis dalam bahasa Arab, bukan dalam bahasa Sepanyol, jadi karyanya tidak dibaca oleh bangsanya sendiri. Sebesar-besar Ibnu Rushd, beliau gagal mengislamkan bangsanya.

    (Sebagaimana Syed Naquib menulis karya-karya agungnya dalam bahasa Inggeris, sehingga orang Melayu tidak dapat membaca apa yang ditulisnya.)

    Bandingkan dengan sejarah kedatangan Islam ke Nusantara. Dalam tempoh kurang 100 tahun, Majapahit jatuh dan demikian juga semua kerajaan-kerajaan Hindu lain, apabila para pedagang Arab yang datang berniaga belajar bahasa-bahasa ibunda tempatan, lalu mengajarkan Islam menggunakan bahasa-bahasa lokal.

    Datin Seri Utama Puan Ainon,

    Sudah tiba masanya dirumuskan satu fiqah lingusitik kerana 50 tahun berlalu, dasar bahasa tidak dikaitkan dengan sesuatu yang samawi. Di mana atau siapakah agaknya pimpinan itu yang mampu menggerakkan usaha ini.?

  2. maharaja el-rastom,

    tak patut kau mempersoalkan kejujuran kerajaan kita dalam democracy berpelembagaan ni.

    kau dzalim.

    sepatutnya orang macam kau ni melantik Zam-Zam Ala-Kazam menjadi naib president UMNO bagi menggantikan manusia ber-angkasa tersebut.

    Aku nampak beliau sangat berpotensi dan seseorang yang mempunyai daya intelek yang sangat luar biasa.

    Cara hujahnya mengalahkan Bung Soekarno!

    ish..ish..
    tak patut…tak patut..
    kau memang tak patut.

    kita patut respek Ala-Kazam. Fail to do so, dianggap menderhaka kepada Bandero dan kesatuan2 mamak2 mendaliar.

    el Kaisar el hakim, sebab dia bisa mengalahkan Bung Karno itulah bahayanya. Ada dapatan yang dilakukan oleh para sosiologis perkauman mengatakan bahawa kumpulan Mendaliaran ini expert dalam bidang bidang tertentu dan tidak dalam semua bidang. Misalnya industri restoran dan makanan goreng goreng. Industri lain seperti jual suratkhabar dan karpet. Entahlah. Tetapi melihat kepada jasa mereka dalam bidang politik sejak zaman sejarah Melayu lagi mungkin mengiakan dapatan ini. Contoh contoh kontemporari boleh dilihat di benua India – betapa banyak darah tumpah kerana politik – dan sebaliknya industri mereka cukup dinamis. Jika Hitler perintah Malaysia, mungkin dengan sikap rasisnya akan merumuskan bahawa Mendaliarian hanya boleh masuk sektor niaga saja, politik dilarang. Dzalimkah hitler?

  3. Salam Tuan,

    Sekarang di radio, (saya dan ibu hanya mendengar NFM) sudah dimulakan pesta menjual ini. Semua berita tentang kemakmuran negara diwara-warakan hampir setiap saat. Hinggakan waktu saya mendengar berita tentang sidang akhbar keputusan UPSR Negeri Sembilan, hati ini berkata-kata; ini keputusan peperiksaan pilihanraya.

    Rakan saya, seorang guru, kecewa dengan keputusan anaknya yang hanya berjaya mendapat 3A2B. Dia memberitahu saya, sekolah anaknya dikategorikan sekolah bandar, jadi tidak dapat soalan bocor. Dan dia syak soalan bocor ini menyebabkan graf dinaikkan jadi yang tidak dapat soalan, menjadi mangsa.

    Ada sekolah yang gurunya sudah siap memberikan jawapan kepada calon. Kata beliau sepatah, “Cikgu bodoh! Itu perbuatan merosakkan bangsa!”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s