Hak untuk diperbodohkan dijamin

Sebagai rakyat sebuah negara demokrasi, saya berhak untuk diperbodohkan! Sesiapa yang menenentang hak saya ini adalah manusia komunis, anti-demokrasi, petualang negara dan tidak patriotik. Perlembagaan Malaysia memberi hak sama rata. Semua berhak. Kerajaan berhak menaikkan harga minyak dan menurunkannya secara perlahan lahan. Pekedai berhak menaikkan harga barang dan hak mereka juga untuk tidak menurunkannya.

Rakyat berhak untuk mempercayai bahawa air boleh digunakan sebagai ganti petrol. Pakar pakar penjimat petrol berhak menipu pengguna dengan gajet gajet eletronik bernanoteknologi untuk menjimat penggunaan petrol.

Rafidah Aziz berhak untuk terus sebagai Ketua Wanita UMNO sementara ahli Wanita akar umbi berhak menaikkan Shahrizat. Mahathir berhak bercakap.

Astro berhak memonopoli bidang penyiaran negara dan TM berhak memonopoli kesemua jaringan telefon dan internet. Rakyat berhak untuk terus menyumbang wang mereka untuk perkayakan syarikat syarikat ini. Rakyat juga berhak untuk menyaksikan kejatuhan nilai simpanan KWSP mereka.

Rakyat juga berhak untuk merasa yakin dengan keajaiban gelang magnet menyihatkan badan, menghapus pelbagai penyakit. Rakyat berhak untuk berjaya gemilang 5A UPSR dengan menjawab peperiksaan Matematik dan Sains di dalam bahasa Inggeris. Generasi gemilang ini berhak menempa nama sebagai para saintis dan ahl matematik terbilang dunia di tahun tahun mendatang.

Menteri berhak meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara kita kukuh dulu, kini dan selamanya. Rakyat berhak meminjam daripada Along dan berbelanja lebih daripada credit limit kad kredit mereka.

Ayah Pin berhak, Al Arqam berhak (isu hangat setiap kali menjelang Perhimpunan UMno), polis berhak, Majlis Fatwa berhak (setelah 51 tahun) untuk mengharamkan yoga, pengkid dan tomboy.

Pengusaha bisnes kecantikan dan kesihatan berhak menjanjikan bulan dan bintang dan anda berhak untuk membeli colostrum (susu awal lembu) untuk menjadi lembu yang lebih bijak daripada lembu lembua biasa.

Anda berhak untuk membaca blog ini atau tidak dan hari ini seorang menteri berhak untuk melatih orang pencen menulis blog. Orang pencen berhak mendapat laptop percuma untuk berblog. Mereka berhak untuk memblog atau tidak atau terus menjual laptop percuma itu.Tokey laptop berhak mendapat habuan daripada kontrak tersebut.

Saya dan anda berhak untuk merasa lebih pandai ……tetapi rakyat Malaysia amnya sentiasa dijamin hak mereka untuk terus menerus diperbodohkan!

Published by rastom

Panduan bahasa, penulisan terjemahan dan ehwal berkaitan bahasa modern dunia

11 thoughts on “Hak untuk diperbodohkan dijamin

  1. Tuan Hezbollah, media massa sekarang berkempen menukar aliran sejarah. Yakni, industri penternakan babi di Malaysia bermula sejak 8hb Mac.

  2. semua itu okay.

    cuma harap tiada hak pemerentah menyentuh perihal kahak individu.

  3. cuma satu saja…
    pembangkang tidak berhak untuk berkempen sama adil semasa PRU.

    -tiada pilihan-

  4. tetuan,

    nilaikan phrase di bawah:

    “kerajaan expect minyak dunia naik pada paras USD200/-
    rupa-rupanya penurunan ke paras skrg tidak dijangka.. ”

    – Prof Einstein Malaysia

    —————————–

    Sungguh seronok melihat buletin-buletin Board di stesen petrol yang mempunyai figura-figura berikut

    Harga Petrol Semasa : RM X.XX
    Harga Petrol yang disubsidikan untuk rakyat RM X.XX
    RON 97 RON 98

    tiba-tiba buletin itu kosong di Putrajaya…

    Sila refer stesen2 petrol di Kedah dan Langkawi pula.

    dan tidak dinafikan, ia akan mempunyai figura nombor tercatit kembali apabila harga minyak dunia naik.

    hehe….

    bijak-bijak

  5. pembaca berita kini mempunyai hak tanpa segan silu menyebut babi yg dulunya dianggap lebih molek jika disebut khinzir,hehe…

    dan bila harga minyak dunia turun, kerajaan perlu mengambil masa sebulan utk memikirkan harga yg sesuai utk diturunkan.

    dan terlantiklah NC baru UM yg akan mengubah ranking dlm masa 4 thn. Bermakna dlm masa 4 thn rakyat malaysia akan bertambah pandai.tak lagi diperbodohkan.tahniah

  6. Majlis Ilmu Di Masjid Baitul Aman

    Kesemua Majlis Ilmu seperti jadual dibawah ini akan diadakan di Masjid Baitul Aman 102 Jalan Damai di Jalan Ampang, Kuala Lumpur:
    Majlis Bacaan Ratib Al-Haddad serta Syarahan dan Huraiannya setiap Selasa malam Rabu selepas Solat Maghrib
    Hari Sabtu 20 Dec 2008 mulai Solat Maghrib sehingga jam 9:30 malam huraian buku berjudul ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’
    Hari Ahad 21 Dec 2008 mulai Solat Maghribhuraian buku berjudul ‘Dakwah yang Sempurna dan Peringatan yang Utama’
    http://pondokhabib.wordpress.com

Leave a comment