seni mengarang blog

Tulisan ini adalah antitesis kepada trend SMSque yang semakin menular sebagai wabak, menjangkiti tua dan muda, Melayu, China dan India. Tidak terkecuali juga dari Barat. Maka saya izinkan seorang sifu dari Barat untuk meneruskan syarahannya. Amber Simmons….dipersilakan!

Setiap paragraf pertama yang anda tulis itu adalah ruang yang menghubungkan anda sebagai penulis kepada pembaca. Hubungan ini bermula dalam diam, jika dimulai dengan baik, pembaca tidak langsung menyedarinya. Kejayaan mewujudkan hubungan ini satu faktor penting kerana ia memberi satu pengalaman, satu kepuasan kepada pembaca. Lebih lebih lagi jika menulis untuk internet kerana orang sering mempersoalkan kredibiliti penulisnya dan pembaca punyai banyak pilihan.

Satu babak yang menarik saya petik dari Hamlet karya Shakespeare ialah bila Polonius membaca kepada Sang Ratu sepucuk surat cinta yang ditujukan khas untuk anak perempuan Polonius. Sang Ratu yang tidak sabar mencelah, ingin tahu samada surat itu ditulis oleh anak terunanya. Polonius mengherdiknya, “Puan, sabarlah. saya akan terus setia (membaca).”

Seperti Sang Ratu, pembaca online juga tidak sabar. Orang tidak sabar kerana mereka tidak kenal siapa diri penulis itu. Bolehkah dipercayai apa yang ditulis? Apa faedahnya menjalin hubungan (dengan membaca bahan tersebut). Ramai yang masih ragu dengan bahan dari internet berbanding bahan dari media cetak. Untuk mendapatkan keyakinan pembaca saya, untuk “menyuruh” mereka terus mengikuti apa yang ditulis, saya perlu setia sebagai penulis.

Penulis biasa atau penulis setia?

Orang menulis untuk berbagai maksud. Ada orang yang terlalu dikesani dengan sesuatu maka mereka menulis. Mungkin anda dikesani dengan apa yang dibaca online atau akhbar yang dicetak. Ada orang menulis kerana itu sudah kerja hariannya. Menulis kerana itu tugasnya agak mudah kerana hanya dia atau majikannya yang akan membaca. Jika anda temui tulisan begini, ia lebih banyak menimbulkan persoalan:

* Kenapa bahan ini ditulis?
* Apa kaitan atau konteks lain yang berkaitan?
* Untuk apa ia ditulis?
* Apakah tulisan ini untuk orang sepertiku atau untuk siapa?

Jika pembaca saya bertanyakan soalan soalan begini, maknanya saya masih belum setia. Pengalaman pembaca yang begini berpunca dari penulisan satu hala – penulis tidak pedulikan pembaca. Tulisannya terlalu berpusat pada diri sendiri.

Penulis setia perlu membentuk gambaran jelas siapa pembacanya dan bercakap dengan mereka sebagai manusia yang hidup. Penulis setia itu sentiasa ingat yang dia menulis untuk seseorang, dan kerjanya selesai hanya bila apa yang ditulisnya itu sampai kepada pembaca. Penulis setia membuatkan pembacanya puas hati dengan apa yang dibacanya.

Bersetia
Saya bekerja selama se tahun di dalam bidang pemasaran. Mutiara yang saya temui selama itu ialah sesuatu kempen promosi yang baik :
# 1. berjaya menyampaikan apa yang pemasar mahu audien tahu
# 2. berjaya sampaikan maklumat yang diperlukan audien

Pemasaran yang baik bukan setakat menjual barang atau perkhidmatan; pemasaran yang baik membentuk kepercayaan, keyakinan di antara audien dan syarikat.
Segala urusan ini tak lain hanyalah hubungan atau interaksi antara manusia.

Menulis pun begitulah resamnya. Bila saya menulis, saya akan beritahu apa yang saya ingin mereka tahu – jika tidak apa perlunya saya menulis? Saya juga perlu menyentuh hal hal apa yang pembaca ingin tahu. Mungkin mereka perlukan maklumat latar bacaan berkaitan dan sumber rujukan. (Misalnya, jika saya menulis mengenai cara membancuh teh, saya perlu maklumkan di mana bahan bahan boleh didapati di dalam tulisan saya.) Mereka mahu apa yang mereka harap boleh didapati dari bacaan mereka.( Berapa ramai diantara anda yang pernah bengang bila membaca FAQ (maklumat latar mengenai sesuatu hal) kerana apa yang anda temui hanyalah cakap cakap kosong (marketing fluff) bukan maklumat yang anda amat perlukan.

Pembaca juga ingin tahu di mana kelemahan dan batas ilmu pengarang. Berlaku jujur tidak rugi. Ada baiknya anda memberi petunjuk atau rujukan kepada artikel lain atau penulis lain yang setia daripada merosakkan hubungan dengan pembaca jika anda memberi atau menulis maklumat yang salah. Tidak semua orang suka akui kelemahan mereka tetapi pembaca memberi nilaian tinggi kepada maklumat yang anda berikan. Sekiranya anda hargai pembaca, maka berilah apa yang mereka mahukan.

Untuk meyakinkan pembaca untuk terus membaca, saya menawarkan kejujuran dan kesetiaan. Hasrat mereka inginkan sesuatu ilmu pengetahuan maka berikanlah. Dengan cara ini, penulisan anda mewujudkan satu ikatan. Ini satu ikatan atau jalinan saling mempercayai. Di alam maya internet, di mana hubungan dan bahan tulisan bersifat maya, usaha untuk membuktikan kepada pembaca kesetiaan anda kepada mereka sangat penting.

Keistimewaan pembaca tunggal

Saya tidak menulis untuk sesuatu audien. Audien adalah rambang dan kabur. Tatkala saya terfikir untuk menulis buat sesuatu audien, terasa seolah olah perlu menunjuk nunjuk dan berlagak penghibur. Walaupun saya memang berharap mereka terhibur, tulisan saya tidak bertujuan untuk sesuatu yang “luar biasa”. Maka langkah yang saya ambil ialah memulakan suatu perbualan intim dengan (seorang) pembaca. Bukan suatu khalayak yang dipanggil audien, tetapi cuma seorang. Sebagai seorang penulis yang setia dalam konteks ini maknanya berusaha mencipta satu dialog dengannya. Saya bayangkan sedang duduk di hadapannya, dengan pelbagai soalan, cadangan dan soalan demi soalan. Dan saya bayangkan pembaca itu duduk di hadapan saya, menanyakan pelbagai soalan, memberi cadangan dan bertanya itu dan ini. Saya anggapkan seperti ada satu tanggungjawab terhadap orang yang seorang ini ( tertakluk kepada apa yang saya tulis) dan saya kira setiap aspek tulisan saya, dari aspek nada, isi dan juga pautannya, dan saya nilaikan samada perkara perkara ini memenuhi keperluan pembaca, bukan agenda saya seorang.

Nilai masa pembaca

Saya sedar pembaca punyai masa untuk hal hal lain, tetapi mereka memilih untuk meluangkan masa untuk saya dan ini satu sebab kenapa saya tidak menulis untuk “audien”. Audien tidak punyai masa untuk dihargai. Audien saya angggapkan sebagai satu kelompok yang tidak aktif. Sukar dibayangkan apa kemahuan audience ini berbanding seorang pembaca.

Agak mustahil untuk memuaskan setiap pembaca seadilnya. Walau pun demikian tidak wajar saya menurunkan darjat karangan saya untuk memenuhi setiap lapisan pembaca. Karangan malas bukan karangan yang baik dan memberi gambaran buruk sangka terhadap pembaca. Anda perlukan masa jika ingin menyediakan bahan dan rujukan yang menarik kepada pembaca. Masa yang anda peruntukan itu tidak sia sia jika ia berjaya membenihkan kepercayaan pembaca.

Hormat

Bukan sahaja masa pembaca itu perlu kita fikirkan, kebijaksanaan dan minat mereka juga perlu diutamakan. Jika saya menulis satu artikel khusus mengenai sesuatu perkara, saya tidak akan membuat pautan kepada laman laman lain yang biasa, popular dan sudah dikenali umum. Tugas saya ialah membongkarkan sesuatu yang baru, yang merangsang rasa ingin tahu pembaca. Saya hanya akan bawakan mereka ke laman yang benar benar membuat mereka suka. Saya seolah olah seorang pemandu pelancong dalam kembara ilmu. Ini tidak akan dapat saya lakukan jika saya perlekehkan kepandaian pembaca. Sebagai tanda ikhlas, pembaca akan ketahui serba sedikit tentang diri saya dengan cara ini. Saya paparkan sesuatu tentang web & internet yang mungkin tidak akan diperolehi secara sendirian. Dengan cara ini saya dapat meraih kepercayaan pembaca kerana menghormati kepandaian dan masa mereka. Mereka menghargai apa yang saya lakukan kerana bahan yang mereka perolehi itu berguna.

Penulis setia merangsang pembaca setia

Walaupun kita membaca setiap hari, tidak semua membaca dengan baik. Menjadi pembaca yang baik bukan mudah; kemahiran ini tidak diajar disekolah dan tidak ramai yang ketahui cara terbaik untuk membaca dan menyerap bahan online. Kesulitan ini juga dihadapi oleh pembaca yang cekap, maka para penulis bahan online punyai tugas untuk membantu ke arah ini.

Pembaca yang baik menafsir apa yang dibaca, samada dibacanya itu blog, jurnal akademik dan sebagainya. Mereka persoalkan teks yang dibaca dan pengarangnya. “Bolehkah dipercayai penulis ini? Apakah kecenderongannya? Setujukah saya dengan tulisannya? Tugas kita sebagai penulis ialahmeramalkan soalan soalan ini dan menanganinya dalam tulisan kita.

Kita perlu gambarkan satu perbualan yang berlaku di alam maya; kita dicabar untuk menjawab walaupun soalan soalan tersebut belum dilontarkan. Ini kerja yang sukar tetapi pembaca yang prihatin akan menghormati kita kerana melayan mereka.

Konteks
Pembaca yang baik akan membandingkan tulisan kita dengan konteks kewujudan mereka. Sebagai penulis, saya tiada cara untuk mengetahui bila para pembaca akan temui tulisan saya samaa esok atau lusa atau dua tahun dari sekarang. Menyedari hakikat ini saya perlu membantu pembaca meletakkan bahan tulisan saya di dalam konteks yang sewajarnya. Ini penting jika saya menulis sesuatu yang berkaitan dan relevan dengan masa seperti maklumat teknikal yang mudah basi. Keperluan konteks ini memuncak jika ia disediakan di dalam media internet yang setiap masa memaparkan bahan terkini. Kerana sifatnya bahan yang tersedia di dalam internet itu selalu dikemaskinikan maka para pembaca sering membuat andaian apa yang mereka baca itu bahan terkini.

Jika tedapat tarikh pada bahan tulisan, keperluan untuk menjelaskan konteks mungkin tidak timbul. Tidak juga bersalahan jika diterangkan serba sedikit konteks atau maklumat latar mengenai bahan anda sebagai bantuan kepada pembaca. Kita tidak dapat menjangka bila tulisan kita akan ditemui pembaca. Lebih banyak butiran kita berikan mengenai latarbelakang bahan tersebut lebih baik untuk pembaca menyesuaikan minda mereka dengan apa yang mereka baca.

Apa perlunya?

Apa yang saya syarahkan ini mungkin kepada sesetengah penulis sebagai sesuatu yang membuang masa. Buat apa susah susah! Ramai pembaca yang ada sekarang bukan ambil pusing. Apa perlunya sebok sebok memupuk hubungan dengan pembaca yang mungkin langusng tidak berminat untuk mengembalikan komitmen yang sama? Jawapan saya mudah, jika hanya seorang sahaja pembaca yang mendapat faedah dari hubungan yang ingin saya jalinkan ini, maknanya saya sudah lakukan tugas saya sebagai seorang penulis. Saya tidak perlu dibaca oleh semua. Saya menulis untuk seseorang. Jika untuk seorang pembaca itu wajar saya peruntukkan masa dan rasa hormat saya, kemungkinan besar tulisan itu juga akan ditemui oleh ramai orang.

Pembaca itu adalah satu unsur pelengkap dalam proses penulisan. Ini benar di alam maya di mana proses membaca itu sesuatu yang disengajakan: para pelayar memilih link mana untuk diikuti. Seorang penulis yang baik akan memikirkan kepada siapa dia menulis, link yang mana yang dipilih, jalan mana yang ingin dibawa pembacanya. Menulis itu sesuatu yang amat personal. Mengangkat pena atau mengetik kibod adalah satu komitmen kepada pembaca.

Rumusan

Sepintas lalu, anjuran saya setakat ini nampak berat. Ia boleh dirumuskan berikut:

* Tulis untuk seseorang, bukan kepada audien.. Bercakap kepadanya sebagai seorang yang hidup, wujud dihadapan anda.
* Beritahu pembaca apa yang mereka ingin tahu, walaupun anda jemu mengulanginya.
* Berikan maklumat latar sebanyak mungkin.
* Bayangkan persoalan pembaca dan jawab.
*Bawa pembaca anda ke tempat tempat menarik di alam maya.
* Hormati masa pembaca. Layan mereka seadilnya.

Web sebagai media baru pada saya amat unik. Saya lebih suka menulis di dalam web berbanding media cetak. Saya suka kecepatannya dan ketiadaan garis pemisah antara pembaca-penulis. Saya bersedia menghadapi cabaran cabaran yang ada di dalam penulisan media baru ini. Saya nikmati setiap saat yang membuka ruang baru mewujudkan hubungan dengan pembaca yang menemui tulisan saya.

Kiranya telah saya laksanakan tugas menulis ini dengan baik, sekurang kurangnya ada juga pembaca setia terus bersama saya.

Translated with the permission of A List Apart Magazine and the author[s].

15 thoughts on “seni mengarang blog

  1. “Ramai yang masih ragu dengan bahan dari internet berbanding bahan dari media cetak. ”

    alhamdulillah saya lebih meragui media cetak yang berlandaskan motif dan maksud yang ingin dicapai oleh sesuatu pihak yang mengaburi kebenaran..dalam hal ini pelopornya ialah rupert murdoch dan diikuti pula oleh mereka mereka di mana mana sahaja..

    alhamdulillah juga, saya lebih selesa membaca blog berbanding dengan akhbar watan kita, memandangkan lebih mudah untuk saya menjarahkan dan menta’dilkan penulis blog tersebut ( berdasarkan jalan jalan ahli hadis) …berdasarkan isi kandungan blog mereka, their interpretation are valued accordingly..mungkin agaknya sudah juak dan muak dan muntah dengan national headlines news..adakah ianya satu konspirasi atau udang disebalik mee untuk setiap yang diperkatakan dan disampaikan..

    alhamdulillah juga , it will be much more easy to trust blogger compared to ‘them’, i can make here and there and then and now the references from other blogger..

    oh ya..terfikir ..andailah si amber simmon( bersesuaian bukan dengan namanya..”amber” seorang pembaca al quran..dan memahami bahasa arab..dan membacanya berdasarkan metodologi yang digariskan olehnya untuk kita..fuyoh..masya allah..pasti hebat..ameen..

    Terkini, syarikat pengeluar gajet dan peralatan komputer membuat sidang akhbar yang turut menjemput para bloggers di samping wartawan akhbar arus perdana. Apa maknanya ini?

  2. napo den tak dijemput ??🙂 agaknyo den ini tak selari dengan arus perdano..

    nak jomput camno, ekau dok NS, konferen tu buek di Amerika!

  3. Salam.
    Perghhhh..baik punya syarahan panduan ini Tuan Rastom.
    Terangkat alis mata saya yang lentuk ini. Bukan senang karang mengarang rupanya.
    Selama ini kebanyakan karangan saya merupakan bahan kitar semula.
    Terima kasih dengan syarahan Tuan
    X-D

  4. fuh! syabas sangat dengan ilmu penulisan nih…. ini baru lah ilmu untuk menjadikan satu-satu karangan tu ‘bernyawa’….

    nampaknya saya ni baru hanya tahap penulis sehala (syok sendiri) la gamaknya…. lepas ni saya nak target tulis untuk ‘satu’ orang lah! ho ho

    tq tq (boleh jadi sifu nih, ho ho)😀

    ho ho ho, he hehe

  5. itulah, setuju sangat dengan bumi langit..
    sifu rastom tak kasi banyak “jurus maut” kat kiter nih hehehe
    tak ramai yang maut kat website hamba.. cuma cedera ringan ringan jeh..

  6. bumilangit & admin,

    Sememangnya bab ini dilihat sesuatu yang sentiasa “work in progress”, belum ada penamatnya, maka sukarlah untuk ditemukan sesuatu yang konkrit. Cuma saya, semasa menterjemahkan artikel itu, merasa terpukau dengan gaya persembahan penulisnya – weblognya pula tidak berkecamuk, mungkin dipadankan dengan prinsip prinsip useability Jakob Nielsen. Patukan idea Jakob Nielsen itu masih kuat terpakai walaupun kita lihat banyak plugin/addons/widgets yang dipakai pada sesetengah blog…contoh terbaik penggunaan widget yang banyak dan sebagainya ialah di laman web rakan saya Tuan Dr Tun Paduka Zubli Zainordin al Haj.

  7. Excellent article!

    Penulis Blog harus peka sekurang-kurangnya dengan empat – lima “W” didalam journalisma untuk menyampaikan ‘message’ yang kukuh

    Where / When / Why / What dan … HoW. Dengan usulan ini karya anda lazimnya akan menjadi ‘WoW’ yang akan menjerat pembaca..

    @+

  8. Membuka mata dan fikiran saya. Tidak terfikir saya akan hal ini jika tidak kerana membaca tulisan tuan ini. Terima kasih daun keladi.

    Terkesan benar saya dengan dua baris ayat kedua terakhir itu.

    InsyaAllah saya cuba praktikkan, dan moga pahalanya (kalau ada) tersampai kepada tuan.

  9. Terima kasih kerana dapat berkongsi ilmu…

    dari sini saya dapat serba sedikit…tentang dunia internet..ini..dan akan terus belajar daripada kesilapan2 yang lalu..dapat input2 yang berguna.

    tQ

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s